Cara Menetapkan Anak
Bulan Ramadhan
Kewajipan puasa ke atas umat Islam
bermula pada tahun 2 Hijrah. Nabi Muhammad SAW melakukannya ibadah puasa di
bulan Ramadhan sebanyak 9 kali sebelum wafat pada tahun ke-11 Hijrah iaitu 11
Rabiulawal.[1]
Cara menetapkan anak bulan Ramadhan
dengan 3 kaedah iaitu:
1)
Melihat anak bulan (nampak anak bulan Ramadhan)
2)
Menyempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari
3)
Ilmu falak
Cara yang ketiga (menggunakan ilmu falak)
tidak berlaku pada zaman Nabi SAW kerana pada ketika itu penyusunan ilmu falak
masih belum wujud. Cara pertama dan kedua sahaja yang pernah digunakan pada
zaman Nabi SAW.
Dalil yang menyatakan bahawa untuk
mengistinbatkan (menetapkan) datangnya anak bulan Ramadhan melalui melihat atau
penyaksian berdasarkan kepada hadis berikut :
Sesungguhnya Ibnu Umar radiallahu ‘anhuma
telah melihat anak bulan. Maka beliau memberitahu kepada Rasulullah SAW
berkenaan dengan apa yang dilihatnya itu. Maka Rasulullah SAW menyuruhnya untuk
berpuasa dan mengarahkan orang ramai (umat Islam) berpuasa.[2]
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Oleh itu,
sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa.”
(Surah Al-Baqarah: 185)
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu,
Nabi SAW bersabda :
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ
غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ
"Berpuasalah
kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak
bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan)
cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari.”
(Bukhari)
Daripada Ibnu Abbas berkata, “Telah datang
seorang lelaki Arab kepada Nabi SAW lalu berkata :
إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ يَعْنِي رَمَضَانَ
فقال أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إلا الله قال نَعَمْ قال أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا
رسول اللَّهِ قال نَعَمْ قال يا بِلَالُ أَذِّنْ في الناس فَلْيَصُومُوا غَدًا
‘Sesungguhnya aku
telah melihat anak bulan Ramadhan.’ Nabi SAW bertanya, ‘Adakah kamu menyaksikan
bahawa tiada tuhan melainkan Allah?’ Jawab lelaki tadi, ‘Ya.’ Baginda SAW
bertanya lagi, ‘Adakah kamu menyaksikan bahawa aku pesuruh Allah?’ Jawabnya, ‘Ya.’
Sabda Baginda SAW, ‘Wahai Bilal, laungkan khabar ini kepada orang ramai (umat
Islam) untuk berpuasa esok.”
(Abu Daud)
Apakah Syarat Bagi
Orang Yang Melihat Anak Bulan?
Penyaksian bagi menetapkan kedatangan
Ramadhan memadai dengan seorang lelaki yang adil. Berbeza dengan
penyaksian-penyaksian yang lain seperti zina yang memerlukan kepada empat orang
saksi, penyaksian bagi membuktikan seseorang minum arak adalah 2 orang dan
lain-lain lagi.
Bagi menetapkan anak bulan Ramadhan,
memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja berbanding dengan 2 contoh
yang dibawakan di atas kerana penyaksian yang menetapkan anak bulan Ramadhan
melibatkan ibadah-ibadah tertentu iaitu puasa, solat terawih dan sebagainya.
[3]
Berbeza dengan zina ia melibatkan hak Allah
SWT iaitu hudud. Begitu juga peminum arak kerana melibatkan hukum hudud, maka
disyaratkan saksi lebih daripada seorang supaya lebih berjaga-jaga dan tidak
berlaku penipuan yang menyebabkan individu yang tertuduh dizalimi.
Bahkan Ibnu Rif'ah dan Ibnu Muqri[4]
mengatakan bahawa mana-mana penyaksian yang melibatkan ibadat-ibadat pada
sesuatu bulan itu maka memadai dengan seorang saksi lelaki yang adil sahaja.
Maka, di dalam Mazhab Syafi'e memadai
seorang saksi sahaja bagi menetapkan kedatangan Ramadhan berserta beberapa
syarat yang dikenakan ke atas saksi tadi iaitu:
1 -
Lelaki.
2 -
Adil.
3 -
Merdeka.
4 -
Ar-Rusyd – orang yang pandai menguruskan
perkara yang melibatkan harta.
5 -
Menjaga maruah.
6 -
Melihat anak bulan dalam keadaan yang
terjaga.
7 -
Boleh bercakap.
8 -
Boleh mendengar.
9 -
Boleh melihat.
10-
Tidak melakukan dosa besar.
11-
Tidak berterusan melakukan dosa kecil.
Syarat adil memadai dengan 'adalah
zohirah iaitu memadai kita mengetahui seseorang saksi tersebut dengan
perwatakan yang baik tanpa memerlukan intipan dan penelitian yang rumit sama
ada seseorang saksi itu benar-benar adil atau tidak. Ini sebagaimana yang
tercatat di dalam kitab-kitab feqah Mazhab Syafi'e.
Waktu untuk melihat anak bulan ialah pada
29 Syaaban malam ke-30.
Menyempurnakan Bulan
Syaaban Sebanyak 30 Hari
Cara yang kedua dalam menetapkan
kedatangan Ramadhan ialah dengan kita mencukupkan bilangan hari di dalam bulan
Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini kerana bulan-bulan di dalam Islam itu sama
ada 29 hari atau 30 hari dalam sebulan. Maka jika cara pertama iaitu dengan
melihat anak bulan Ramadhan pada 29 Syaaban malam ke-30, hasilnya anak bulan
kelihatan maka wajib berpuasa pada keesokannya. Jika tidak, hendaklah
dicukupkan bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari.
Dalil yang digunakan dalam pelaksanaan
cara yang kedua ini ialah:
Daripada Ibnu Umar radiallahu ‘anhum
berkata, Nabi SAW bersabda :
الشَّهْرُ تِسْعٌ وَعِشْرُونَ لَيْلَةً فلا تَصُومُوا
حتى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ
"Sebulan itu 29
hari. Maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan. Maka
sekiranya mendung atau gelap (yakni anak bulan tidak kelihatan) maka cukupkan
bulan tersebut sebanyak 30 hari."
(Bukhari)
Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu,
Nabi SAW bersabda :
صُومُوا
لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ
شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ
"Berpuasalah
kamu sekiranya nampak anak bulan (Ramadhan), dan berbukalah apabila nampak anak
bulan (Syawal). Maka sekiranya gelap (tidak kelihatan anak bulan Ramadhan)
cukupkanlah bulan Syaaban itu 30 hari."
(Bukhari)
Justeru, cara kedua ini iaitu mencukupkan
bilangan bulan Syaaban sebanyak 30 hari selepas melihat anak bulan pada 29
Syaaban, maka apabila kelihatan anak bulan maka wajib berpuasa pada
keesokkannya dan bulan Syaaban dikira hanya 29 hari sahaja. Jika tidak
kelihatan, maka, cukupkan bulan Syaaban sebanyak 30 hari. Hal ini demikian juga
ijma' daripada ulama berdasarkan dalil-dalil yang lepas bahawa bulan di dalam
Islam itu sama ada 29 hari atau 30 hari.
Ilmu Falak
Kaedah ilmu falak dalam penentuan sesuatu
bulan di dalam Islam merupakan satu susunan ilmu moden yang diguna pakai pada
zaman sekarang. Kaedah ini tidak digunakan pada kurun-kurun yang lepas. Kaedah
ilmu falak ini bukan sekadar menentukan bulan Ramadhan sahaja, bahkan juga
menentukan semua bulan berdasarkan kiraan falak. Begitu juga sekarang dengan
waktu solat, boleh dikatakan rata-rata menggunakan kaedah falak berdasarkan
takwim solat yang telah tersedia ada, tanpa perlu mengukur bayang-bayang dalam
setiap kali menentukan waktu solat.
Kebanyakkan ulama menerima akan kaedah
ini kerana ketepatan dan mudah dalam menentukan sesuatu urusan yang melibatkan
ilmu-ilmu falak dan astronomi selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.
Namun, pada mulanya ada juga segelintir
ulama yang kurang menerima pakai kaedah ilmu falak. Mereka mengkrtitik bahawa
kaedah ini tidak memberikan suatu hasil secara tepat bahkan ia hanya satu
anggaran atau tekaan sahaja. Bagi mereka, cukup dengan 2 cara sebagaimana yang
digunakan pada zaman Nabi SAW iaitu melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan
tidak kelihatan maka sempurnakan bulan Syaaban sebanyak 30 hari.
Bahkan mereka menghujahkan riwayat Ibnu
Umar radiallahu ‘anhum bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ لَا نَكْتُبُ ولا نَحْسُبُ
الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا
“Sesungguhnya kami
adalah kaum yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), kami tidak tahu menulis
dan menghitung akan sesuatu bulan itu dan ini iaitu sama ada 29 hari atau 30
hari.”
(Bukhari dan Muslim)
Namun begitu, hujah mereka tertolak.
Hujah yang mereka bawakan merupakan hujah ke atas mereka. Nabi SAW hanya menerangkan keadaan pada zaman baginda SAW.
Walau bagaimanapun, baginda tidak menafikan kaedah ilmu falak yang bersesuian
mengikut zamannya. Mereka menggunakan cara melihat anak bulan dan mencukupkan
bulan Syaaban 30 hari kerana 2 cara tersebut merupakan cara mudah pada waktu
tersebut.
Bahkan jika diteliti dalam sabda Nabi
SAW, sedikit pun tidak menegah apa-apa cara yang baru sekiranya manusia pada
waktu tertentu mahir dengan kaedah tersebut. Misalnya, kaedah ilmu falak.
Hasilnya, manusia zaman sekarang sama ada
ulama dan ahli sains masing-masing mengguna pakai kaedah tersebut dengan
berpandukan kaedah agama.
Menyelaraskan Awal
Ramadhan Pada Hari Yang Sama
Perbezaan bagi setiap negara Islam dalam
menyambut kedatangan anak bulan Ramadhan merupakan satu perbincangan sejak
zaman dahulu lagi. Hal ini disebabkan kerana walaupun kesemua negara Islam
khususnya di Tanah Arab menyambut kedatangan 1 Syaaban pada hari yang sama,
namun sambutan 1 Ramadhan tetap berlaku perbezaan di antara negara-negara
Islam.
Hal ini demikian kerana ia bergantung
kepada kaedah yang diguna pakai oleh setiap negara dalam menetapkan anak bulan
Ramadhan. Tidak semua yang menggunakan kaedah ilmu falak bahkan menetapkan
bahawa menetapkan anak bulan Ramadhan hanya dengan penyaksian kerana jelas Nabi
SAW bersabda menggunakan perkata ‘melihat’. Justeru, tidak semua yang melakukan
kaedah ilmu falak dalam menetapkan 1 Ramadhan. Hasilnya berlakulah perbezaan
sambutan awal Ramadhan seterusnya perayaan Hari Eidul Fitri walaupun jarak
keseluruhan negara-negara Islam yang berada di hujung Timur dan hujung Barat
hanya dalam lingkungan tempoh 9 jam iaitu kesemua negara Islam berada dalam
satu malam yang sama.[5]
Majoriti ulama bersetuju dan sepakat
bahawa penggunaan ilmu falak juga dikira sebagai ‘melihat’ atau ‘menyaksikan’
sebagaimana yang terdapat dalam lafaz hadis berkenaan kedatangan anak bulan
Ramadhan.[6] Maka kaedah ilmu falak ini juga dilihat sebagai satu satu cara
untuk menyelaraskan sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal di setiap negara Islam.
Hal ini demikian kerana keselarasan dan kesatuan dalam sambutan 2 tarikh yang
besar ini akan memberikan kemudahan kepada orang awam dalam ibadah puasa terutama
yang selalu ke luar negara dan menjadikan kesatuan umat Islam dilihat dengan
sambutan hari kebesaran dalam Islam pada hari yang sama.
Berkenaan dengan keselaran sambutan awal
Ramadhan ini, Syeikh Atiyah Saqar ada membicarakan di dalam kitab fatwanya bahawa
perkara ini mendapat perhatian serius oleh ulama sedunia dan Al-Azhar melalui
Akademi Kajian telah melakukan perbincangan dalam muktamarnya yang ke-3 yang
berlangsung pada tahun 1966. Hasilnya, satu ketetapan cadangan dikemukan bagi
merealisasikan keselarasan sambutan awal Ramadhan dalam menjaga kesatuan umat
Islam. Antara ketetapan cadangan tersebut ialah :
1-
Kaedah penyaksian merupakan kaedah asal bagi melihat anak bulan
sebagaiaman yang dinyatakan dalam hadis Nabi SAW, namun penyaksian tersebut
tidak diterima sekiranya terdapat keraguan yang kuat pada penyaksian itu.
2-
Kaedah penyaksian anak bulan diterima pakai apabila berita penyaksian
tersebut tersebar (masyarakat negara tersebut juga melihat anak bulan dan tidak
ada yang menafikannya) dan tidak ada sebarang unsur yang diragui atau penipuan.
Hal ini berbeza dengan kaedah ilmu falak, bahawa pengumuman yang dikeluarkan
oleh adalah dipercayai (tanpa memerlukan kepada masyarakat setempat tidak
menafikannya). Bermakna maklumat hasil kaedah ilmu falak lebih dipercayai.
3-
Perbezaan tidak dikira ke atas negara-negara Islam yang berkongsa tempoh
waktu malam pada hari yang sama. Perbezaan yang diiktibar hanyalah
negara-negara yang tidak berkongsi tempoh waktu malam pada malam yang sama.
4- Setiap negara Islam mestilah berbincang
dan menghubungi di antara satu sama lain dalam menetapkan sesuatu tarikh
berdasarkan bulan Islam (termasuk awal Ramadhan) dengan kemudahan teknologi
yang sedia ada dan menyeleraskan maklumat ilmu falak.[7]
Syeikh Ali Jumaah, mufti Mesir
menyebutkan bahawa penggunaan kaedah ilmu falak lebih membawa kepada hasil yang
yakin berbanding dengan sekadar penyaksian individu. Beliau mengeluarkan fatwa
tersebut dengan menyandarkan jawapan beliau kepada Imam Subki dalam permasalahan
apabila berlaku pertembungan maklumat antara penyaksian dan maklumat ilmu
falak.[8] Secara ringkas, apabila
berlaku percanggahan sebagaimana masalah yang disebutkan tadi, adalah lebih
baik untuk mengambil kaedah kiraan ilmu falak kerana ia merupakan benda yang
jelas (yakin) dan tepat berbanding kaedah melihat kerana kaedah melihat anak
bulan tidak sampai tahap yang yakin. Maka apabila benda bertembung di antara
benda yang jelas (yakin) dan sangkaan maka diutamakan benda yang jelas (yakin).
Sebaik-baiknya (seperti zaman sekarang)
menggabungkan di antara 2 kaedah ini, walaupun mengikut ilmu falak tarikh bagi
awal bulan Ramadhan mungkin sudah diketahui, namun pada 29 Syaaban pada malam
ke-30, kaedah melihat anak bulan tetap dijalankan bagi lebih meyakinkan dan
mengambil sunnah Nabi SAW.
Dengan adanya kaedah ini (kiraan falak),
keselarasan dalam penentuan permulaan bulan Islam dapat dilaksanakan,
memandangkan tempoh yang paling jauh di antara satu negara Islam ke satu negara
Islam yang di dunia hanya 9 jam. Hal ini menjadikan negara-negara Islam
kesemuanya berkongsi sebahagian daripada waktu malam pada hari yang sama.
Hasilnya, kedatangan awal Ramadhan dapat diselaraskan dan dapat disatukan di
antara kesemua negara Islam, memadai dengan hanya satu negara Islam seperti
Mekah (kerana Mekah pusat negara Islam dan berada di tengah bumi yang
membezakan Timur dan Barat) sahaja yang melihat anak bulan, kemudian negara
tersebut mengkhabarkan kepada negara-negara Islam yang lain dengan kemudahan
yang sedia ada seperti telefon, faks dan internet.[9]
Ini merupakan hasil cadangan yang
dilakukan oleh para ulama terutama di peringkat Dar Ifta’, Mesir yang
meletakkan priority kaedah ilmu falak lebih meyakinkan. Apa pun ia bergantung
kepada setiap negara Islam yang memilih kaedah yang bersesuaian bagi negara
mereka. Namun apa yang lebih baik ialah sebagaimana yang telah dinyatakan di
atas iaitu keselarasan dalam sambutan awal Ramadhan dan 1 Syawal kerana dengan
keselarasan ini akan lebih menampakan kekuatan kesatuan umat Islam di seluruhb
negara. Bahkan keselarasan ini tidak mustahil kerana setiap negara Islam
berkongsi tempoh waktu malamnya pada hari yang sama. Dan bagaimana mungkin
negera yang berkongsi waktu malam yang sama boleh menyebabkan perbezaan
sambuatan satu-satu tarikh dengan kadar beza ialah satu hari? Maka seeloknya
setiap negara Islam terus berbincang mengenai perkara ini dan menjadikan ia
sebagai titik kesatuan bagi setiap negara Islam dalam sambutan hari-hari
kebesaran dalam Islam.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili
Saiman
Pengerusi Felo
MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-
Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah
Saqar, cetakanb Maktabah Wahbah
2-
Al-iqh Al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
3-
Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, Syeikh Ali Jumaah, cetakan Al-Muqattam
Li An-Nasyr Wa At-Tauzik
4-
At-Taqrirat As-Sadidah Fi Al-Masail Al-Faridah, Syeikh Hasan bin Ahmad
bin Muhamad Al-Kaff, cetakan Dar Al-Mirath An-Nabawiah
[1] مجموع
jild ke-6 dan رد المختار jilid ke-2
[2] Riwayat Abu Daud dan ditashihkan oleh Ibnu
Hibban – rujuk kitab الفقه الإسلامي وأدلته
jilid ke-3 bab puasa di bawah perbahasan cara mengistinbatkan bulan
Ramadhan dan Syawal.
[3] Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah
tajuk الأقضية والشهادات .
[4] Rujuk Hasyiah Bijuri jilid ke-2 di bawah
tajuk الأقضية والشهادات .
[5] Kitab
Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي
وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan
tempat terbit matahari yang berlainan negara.
[6] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa
Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s 29 cetakan Maktabah Wahbah
[7]
Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, m/s
30 cetakan Maktabah Wahbah
[8] البيان لما يشغل الأذهان
karangan Syeikh Ali Jumaat.
[9] Kitab
Syeikh Muhammad Abu Al-'Ala Al-Banna – Rujuk الفقه الإسلامي
وأدلته jilid ke-3 bab puasa di bawah perbincangan
tempat terbit matahari yang berlainan negara.
Sumber :
manhal-pmram
No comments:
Post a Comment