TERKINI - Pengetahuan & Pendidikan

Wednesday, October 7, 2009

Piramid : Keajaiban Dunia Di Tamadun Mesir Purba


 Piramid yang terdapat di Giza, Mesir
          Piramid Agung Kufu merupakan satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia yang tertua dan yang terakhir masih tinggal. Piramid ini dipercayai dibina sebagai makam untuk Firaun Kufu (nama Greek: Cheops; tempoh pemerintahan: 2606-2583 SM) daripada Wangsa Mesir Keempat. Arkiteknya ialah Hemon, saudara Kufu. Piramid ini siap dibina pada sekitar tahun 2580 SM, setelah menelan masa 20 tahun.

Lokasi

          Piramid Agung Kufu merupakan piramid yang terbesar dan paling terkenal serta tertua antara tiga piramid (Piramid Kufu, Piramid Khafre dan Piramid Menkaure) di Bandar Kematian Giza, Mesir. Kawasan tersebut bersebelahan dengan bandar moden Kaherah, dan menjadi bahagian utama bagi kompleks bangunan-bangunan yang merangkumi laluan pejalan kaki yang istimewa, dua kuil, tiga piramid yang kecil (digelar piramid permaisuri), lubang-lubang untuk mengebumikan bot-bot serta mastaba-mastaba untuk bangsawan. Pada masa itu, juga terdapat sebuah bandar untuk pekerja-pekerja yang mengandungi antaranya perkuburan, kilang-kilang roti, kilang bir serta kompleks peleburan tembaga. Satu dari piramid kecil mengandungi makam ratu Hetepheres (dijumpai pada 1925), yang merupakan adik dan isteri Snefru dan juga ibu kepada Khufu. Banyak lagi kompleks-kompleks bangunan yang masih dalam usaha mencari dan menganalisis untuk Projek Pemetaan Giza.
Beberapa ratus meter dari barat daya Piramid ini terletaknya Piramid Khafre, yakni makam waris Khufu yang membina Sfinks Agung. Lagi beberapa ratus meter dari barat daya Piramid Khafre terletaknya Piramid Menkaure yang merupakan makam waris Khafre. Tingginya hanya setengah daripada Piramid Khafre. Walau bagaimanapun daripada gambar foto, ia kelihatan tertinggi di kalangan ketiga-tiga piramid disebabkan ia lebih curam dan dibina di atas tanah yang lebih tinggi.

Pembinaan


Rajah menunjukkan pelan piramid
          Pada waktu pembinaan, ketinggian Piramid Agung Kufu 146.5 meter (481 kaki), akan tetapi disebabkan hakisan dan kecurian batu yang teratas, ketinggian kini ialah 139 meter (455 kaki). Setiap sisi pada kaki piramid berukur 231 meter (758 kaki) dan meliputi kawasan 5.3 hektar (13 ekar).
Pada tahun 1301, satu gempa bumi yang besar telah melonggarkan kebanyakan batu selongsong yang kemudian diangkut ke Kaherah oleh An-Nasir Nasir-ad-Din al-Hasan Sultan Bahri untuk pembinaan masjid-masjid dan kubu-kubu. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak batu selongsong di sekitar kaki piramid.
Piramid Agung Kufu mengandungi 2 juta batu blok yang setiap satunya seberat 1 tan. Seluruh Piramid diliputi dengan batu kapur yang dilicinkan sehingga kilauannya dapat diperhatikan di tempat yang berbatu-batu jauh.

Sphinx merupakan patung manusia berkepala singa berada di sebelah Piramid

Sunday, August 30, 2009

Sejarah 1000 Tahun Kegemilangan Al-Azhar

    
      Universiti Al-Azhar As-Syarif merupakan sebuah institusi pendidikan terulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai puast kesarjanaan dan pendidikan.Ia merupakan universiti kedua tertua di dunia selepas Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.969M merupakan satu tarikh agung bagi Mesir apabila Kaherah dibuka dengan rasminya dan menjadi ibu negara Mesir sehingga kini.Khalifah kerajaan Fatimiyyah iaitu Khalifah Al-Aziz Billah telah berkenan untuk menubuhkan universiti ini.Kerja pembinaan masjid Al-Azhar telah mula dijalankan pada 4 April 970M bersamaan 24 Jamadil Awwal 359H oleh panglima Fatimiyyah, Jauhar As-Saqoli.Pembinaan selesai pada hari Jumaat, 22 Jun 972M/7 Ramadhan 361H dan solat Jumaat pertama telah diadakan pada tarikh tersebut.Pada 378H/988M seorang wali kerajaan Abbasiyyah di Mesir, Ya`kub Bin Kals telah mencadangkan supaya Masjid Al-Azhar dijadikan institusi pengajian.Al-Azhar pada mulanya ialah pusat pengajian bagi mazhab Syiah kerana pemerintah Fatimiyyah pada ketika itu menjadikan Syiah Ismailiyyah sebagai mazhab rasmi negara.
          Akan tetapi setelah Dinasti Ayyubiyah mengambil alih tampuk pemerintahan Mesir, rajanya iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayyubi menukar Al-Azhar menjadi pusat pengajian bagi mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga menghapuskan ajaran Syiah.Beliau juga telah meneroka ilmu-ilmu naqli seperti tafsir, fiqh, hadis, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera di samping ilmu aqli seperti sejarah, falsafah, perubatan dan lain-lain lagi.
          Al-Azhar telah mengalami banyak perubahan akibat daripada pertukaran kerajaan pemerintah di bumi Mesir serta menyesuaikan diri dengan perubahan dan zaman dan kemaslahatan umat Islam.Kerajaan Uthmaniyyah memerintah Mesir pada 1517M setelah berjaya menewaskan tentera kerajaan Mamalik dalam pertempuran "Maraj Dabik" di Halab, Syria.Sultan Salim telah membawa pulang bersamanya kitab serta ilmu berharga dari Maktabah Jami` Al-Azhar ke pusat pemerintahannya untuk memajukan negaranya.Golongan Basya juga datang dari Turki ke Mesir.Mereka merupakan golongan ulama yang alim serta wara` dan kedatangan mereka menambahkan kemajuan ilmu di Jami` Al-Azhar.
          Pada abad ke-17, Khalifah Uthmaniyyah telah memberikan gelaran As-Syeikh Jami` Al-Azhar iaitu gelaran yang digunakan untuk ketua Jami` Al-Azhar dan masih digunakan sehingga kini.Pada 1961M, Presiden Mesir Jamal Abdul Nasser telah menambah beberapa fakulti ke universiti ini iaitu fakulti perubatan, kejuruteraan dan pertanian serta membuka fakulti untuk wanita Islam.Al-Azhar juga mempunyai maahadnya iaitu Maahad Buuth.Al-Azhar telah berjaya meneruskan kegemilangan Ilmuwan Islam pada zaman Dinasti Mamalik setelah pusat ilmu di kota Baghdad dimusnahkan oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan pada abad ke-13 sehingga zaman kini.Al-Azhar juga berperanan menentang penjajahan Perancis ke atas Mesir (1797-1800) dengan ulamanya membangkitkan semangat jihad rakyat Mesir dan berhasil menewaskan kuffar Perancis.
          Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh masyhur yang menjadi ilmuwan serta pendokong perjuangan gerakan Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Hassan Al-Banna, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dan ramai lagi serta tokoh-tokoh Nusantara seperti Kaum Muda yang membangkitkan idea semangat jihad menentang penjajahan kuffar iaitu Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki, Syeikh Juned Tola, Syeikh Idris Al-Marbawi dan Syeikh Wan Ahmad Pattani.Al-Azhar juga telah melahirkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam politik tanah air seperti Wan Mokhtar Ahmad, Dr Zulkifli Muhammad, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ibrahim Mahmud, Dato` Abdul Hamid Othman serta ramai lagi.Tokoh-tokoh lepasan Al-Azhar telah memainkan peranan penting di dalam pembinaan masyarakat, sosio-ekonomi, serta memacu negara menuju ke arah yang lebih baik dan mengikut acuan Islam.
          Berdasarkan kajian, Universiti Al-Azhar mendapat namanya dengan dinisbahkan kepada puteri Rasulullah SAW iaitu Fatimah Az-Zahra semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyyah yang juga menggunakan nama puteri Baginda sebagai nama kerajaan.Al-Azhar telah berjaya memberikan jasa dan bakti yang besar kepada Dunia Islam seluruhnya.Pelajar Al-Azhar kini datang dari seluruh pelusuk dunia semata-mata untuk mencedok ilmu agar ia dapat digunakan untuk membangunkan jiwa umat Islam yang kini menghadapi banyak cabaran serta ancaman dari gerakan Sekularisme, Komunisme, Atheisme, Sosialisme, Nasionalisme, Kristianisasi, Orientalisme serta Freemasonry yang tidak berputus asa untuk berusaha meruntuhkan Islam dan menjauhkan Muslim dari agamanya.Semoga seluruh mahasiswa Mesir dapat menjadi sebahagian dari perjuangan untuk mempertahankan Islam.