DEFINISI
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
edisi ke-4, demonstrasi memberikan maksud :
-tunjuk perasaan dgn cara berkumpul
beramai-ramai, berarak, dan seumpamanya
-menunjukkan serta menerangkan cara
menggunakan sesuatu (spt mesin, alat solek, dll) atau cara-cara melakukan
sesuatu
*rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi
ke-4 atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu
BENTUK DEMONSTRASI
Demonstrasi sebagaimana yang telah
dinyatakan menurut definisi Kamus Dewan dan Pustaka, jelas ia merupakan konsep
atau wasilah dalam menyampaikan sesuatu perkara. Disebabkan itu antara konsep
dalam demonstrasi ialah mengadakan himpunan samada menyatakan sokongan atau
bantahan, perarakan, rapat umum dan apa jua aktiviti yang melibatkan
perhimpunan masyarakat yang ramai. Dan inilah definisi yang mahu
diperbincangkan di dalam artikel ini.
Adapun begitu, maka hukum bagi
demonstrasi adalah mengikut kepada tujuan dan wasilah yang digunakannya. Hal
ini demikian kerana demonstrasi bukanlah tujuan utama, namun ia merupakan
sebagai wasilah atau cara dalam menunjukkan sesuatu tujuan.
Justeru, dalam membincangkan hukum
demonstrasi kita lihat kepada jenis-jenis demonstrasi iaitu :
1-menunjukkan kekuatan Islam dan umat
yang bersatu
2-mencegah kemungkaran dan kezaliman
serta menyeru ke arah perkara makruf
3-menggunakan cara yang tidak bertentangan
dengan syara’ (tidak mengangkat senjata dan mendatangkan mudharat kepada
masyarakat) dan sebagai pemberitahuan secara besar-besaran (menuntut hak yang
tidak diperolehi)
4-menggulingkan pemerintah Islam yang
adil
5-mengangkat senjata (bertentangan dengan
syara’)
*kitab Fusul Min Siyasah Syar’iyah Fi
Ad-Dakwah Ila Allah karangan Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq
DEMONSTRASI YANG
DIHARAMKAN OLEH SYARA’
Merujuk kepada jenis-jenis demonstrasi,
maka para ulama sepakat bahawa demonstrasi yang berbentuk untuk menggulingkan
pemerintah yang adil dengan menggunakan cara yang tidak syari’e iatu
menggunakan senjata dan kekerasan, hukumnya adalah haram.
Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil
berikut :
1-Wajib mentaati
pemerintah
Maksud firman Allah dalam Surah An-Nisa’
pada ayat ke-59 :
“Wahai orang yang
beriman! Taatilah Allah dan taatilah rasul serta pemimpin di kalangan
kamu.”
-Berkenaan ayat di atas Imam At-Tabari
menyifatkan ulul amri dalam ayat di atas ialah ketua atau pemimpin berdasarkan
hadis Nabi SAW yang menyuruh mentaati pemerintah selagimana di atas landasan
yang benar.
-Imam Ibnu Kathir mentafsirkan kalimah ulul
amri adalah merujuk kepada pemerintah dan ulama.
Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi SAW
bersabda :
مَنْ أَطاعَنِي فَقَدْ
أَطاعَ اللهَ, وَمَنْ عَصانِي فَقَدْ عَصَى اللهَ, وَمَنْ أَطاعَ أَمِيْرِي فَقَدْ
أَطاعَنِي, وَمَنْ عَصَى أَمِيْرِي فَقَدْ عَصانِي
“Sesiapa yang
mentaati aku, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakai
aku maka sesungguhnya dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati
pemerintah (yang berhukum mengikut manhaj) ku maka dia telah mentaatiku, maka
sesiapa yang menderhakai pemerintah (tersebut) maka dia telah menderhakaiku.”
– Bukhari (7137) dan Muslim (1835)
Abdullah ibnu Umar berkata, Nabi SAW
bersabda :
السَمْعُ والطاعَةُ عَلى المَرْءِ المُسْلِمِ
فِيْما أَحِبَّ وَكَرِهَ, مَالَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَة فَإذا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلا
سَمْعَ وَلا طَاعَةَ
“Taat dan patu
kepada seseorang muslim (pemerintah) pada setiap perkara samada suka atau benci
selagimana tidak disuruh melakukan maksiat, maka apabila disuruh melakukan
maksiat maka tidak wajib (bahkan haram) untuk taat dan patuh.”
– Bukhari (7144) dan Muslim (1839)
Imam An-Nawawi menyebutkan di dalam kitab
Syarah Muslim bahawa ijma’ bahawa wajib mentaati pemerintah dalam konteks bukan
maksiat dan begitu juga haram mentaati pemerintah dalam konteks maksiat.
2-Haram
memudharatkan ke atas manusia
Apabila demonstrasi yang dirancang dengan
menggunakan kekerasan dan senjata samada untuk membunuh atau menyeksa, maka
hukumnya adalah haram berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :
1- Ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-93 yang
bermaksud :
“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,maka
balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal ia di dalamnya (tempoh yang panjang) dan
Allah murka kepadanya.”
2- Ayat Al-Quran dalam Surah Al-An’am pada ayat ke-151 yang
bermaksud :
“Dan jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (untuk
membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (dibenarkan oleh syara’)”
3-Ibnu Umar meriwayatkan, sabda Nabi SAW ketika Haji Wada’ :
أيُّها الناس! إِنَّ دِمَاءَكُمْ
وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا
فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
“Wahai manusia! Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu ke
atas kamu adalah haram (terjaga) sebagaimana ia telah diharamkan (suci dan
terjaga penghormatan) seperti sucinya hari kamu pada hari ini, bulan ini dan
negara (Tanah Mekah) ini.”
- Bukhari
4-Nabi SAW melarang manusia daripada melakukan 7 perkara yang
mendatangkan dosa besar iaitu melalui sabda baginda SAW :
الشِرْكُ بِالله، وَالسِحْر، وقَتْلُ النَفْسِ الَّتِي
حَرَّمَ اللهُ إلِّا بالحَقّ، وأَكْلُ الرِبا، وأَكْلُ مالِ اليَتِيم، والتَوَلّي يَوْمَ
الزَحَف، وقَذْفُ المُحْصَنات الغافِلات المُؤْمِنات
“Syirik keada Allah,sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah
melainkan dengan jalan yang hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari
daripada medan perang dan menuduh zina wanita Islam yang baik.”
– Bukhari dan Muslim
5-Kaedah “لا ضَرَرَ وَلا ضِرَار” berdasarkan kepada hadis Nabi SAW.
Maka jelas Islam menolak sebarang mudharat iaitu dalam hadis Nabi SAW
disebutkan tidak ada (haram melakukan) perkara memudharatkan (diri sendiri atau
orang lain) dan tidak ada (haram melakukan) tindak balas memudharatkan
(terhadap mudharat yang diterima). Hal ini bertepatan dengan maqasid syariah
yang dijaga oleh Islam iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Sebarang
mudharat ke atas 5 perkara ini adalah diharamkan oleh Islam.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada
dalil-dalil yang dibentangkan di atas maka para ulama sepakat bahawa
demonstrasi yang tidak dibenarkan oleh syara’ ialah tunjuk perasaan yang
mengangkat senjata kerana ia akan memudharatkan masyarakat awam apatah lagi
jika membunuhnya dengan sengaja. Begitu juga demonstrasi bagi menggulingkan
pemerintah yang adil dan memegang dasar pemerintahan Islam, maka hukumnya
adalah haram.
DEMONSTRASI YANG
DIHARUSKAN OLEH SYARA’
Sehubungan itu, bentuk demonstrasi selain
yang disebutkan di atas iaitu berniat menggulingkan pemerintah Islam,
pemerintahan yang adil serta mengangkat senjata, maka ia adalah harus sekiranya
tujuan dan cara adalah tidak bertentangan dengan syara’.
Maka demonstrasi yang berbentuk menuntut
hak, menunjukkan kekuatan Islam dan kesatuan rakyat dalam berhadapan dengan
pemerintahan yang zalim yang melakukan kemungkaran adalah diharuskan.
Hal ini berdasarkan kepada dalil-dalil
berikut :
1-Hukum asal bagi sesuatu perkara (selain
dalam konteks ibadah) adalah harus. Kaedah :
“أن الأصل في الأشياء الإباحة”
Demonstrasi adalah dalam konteks urusan
dunia, tidak termasuk dalam konteks ibadah, maka hukum asal bagi konteks urusan
dunia adalah harus dan terpulang kepada kebijaksanaan manusia dalam menguruskan
wasilah yang pelbagai dan sesuai dengan zaman mereka selagimana tidak
bertentangan dengan nas-nas yang mengharamkan sesuatu perkara.
Hal ini demikian kerana demonstrasi
adalah wasilah kepada sesuatu tujuan yang ingin disampaikan. Maka sekiranya
tujuan untuk menuntut hak yang dirampas dan keadilan yang sebanar dengan
wasilah demonstrasi secara aman tanpa merancang menimbulkan huru-hara maka ia
adalah diharuskan.
Islam memerintahkan umatnya mencegah
kemungkaran dan menetang kezaliman. Adapun cara atau wasilahnya berdasarkan
kesesuaian tempat, masa dan pihak yang membawa kebenaran. Maka konteks hikmah
dan peringatan yang baik adalah berdasarkan kepada kesesuaian realiti dan
peringkat serta kemampuan. Maka kita dapat lihat bagaimana setiap zaman para
rasul adalah berbeza pendekatan yang dilakukan. Contohnya, Nabi Ibrahim
berhujah dengan Namrud, Nabi Musa menggunakan mukjizat dalam berhadapan dengan
ahli sihir, Ratu Balqis tertawan dengan pemerintahan yang adil yang dilakukan
oleh Nabi Sulaiman bahkan di zaman Nabi Muhamad SAW terdapat banyak peperangan.
2-Dr Yusuf Al-Qardhawi menerangkan 3 cara
apabila berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan jelas melakukan
kemungkaran, bahkan apabila mencegah sekiranya diam atau rahsia masih tidak
berjaya, maka wajib ke atas umat Islam apabila mempunyai kekuatan dan kemampuan
untuk mencegahnya melalui :
-undian pilihanraya
-kuasa tentera
-kuasa rajyat
Dalam konteks kuasa rakyat adalah
termasuk sekali dengan mengadakan demonstrasi bagi menunjukkan bahawa rakyat
tidak bersetuju dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah. –
rujuk kitab Fiqh Ad-Daulah, karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi dan artikel MANHAL
PMRAM di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/kewajipan-membebaskan-penjajahan-ke.html
Perbahasan ini adalah merujuk kepada
perbahasan mencegah kemungkaran melalui 3 peringkat yang disuruh oleh Nabi SAW
dalam sabdanya :
مَنْ رَأَى
مِنْكُم مُنْكرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِه، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسانِه، فَإن
لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِه، وذلك أَضْعَفُ الإِيْمان
“Sesiapa daripada
kalangan kamu yang melihat kemungkaran,maka wajib mengubahnya dengan
menggunakan tangan (kuasa), maka sesiapa yang tidak mampu, maka dengan lisan,
sekiranya tidak mampu juga maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah
iman.”
– Muslim
Dan juga Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan
oleh Anas RA :
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا
أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا
أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ
مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ
“Bantulah saudara
kamu yang zalim dan yang dizalimi. Maka bertanya sahabat : Wahai Rasulullah
SAW, aku mengetahui bahawa untuk membantu orang yang dizalimi maka bagaimana
cara untuk membantu orang yang zalim? Maka jawab Nabi SAW : menghalangnya atau
mencegahnya daripada berterusan melakukan kezaliman maka demikian kamu telah
membantunya.”
– Bukhari (6438)
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ
قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- يَشْكُو جَارَهُ فَقَالَ
« اذْهَبْ فَاصْبِرْ ». فَأَتَاهُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا فَقَالَ « اذْهَبْ فَاطْرَحْ
مَتَاعَكَ فِى الطَّرِيقِ ». فَطَرَحَ مَتَاعَهُ فِى الطَّرِيقِ فَجَعَلَ النَّاسُ
يَسْأَلُونَهُ فَيُخْبِرُهُمْ خَبَرَهُ فَجَعَلَ النَّاسُ يَلْعَنُونَهُ فَعَلَ اللَّهُ
بِهِ وَفَعَلَ وَفَعَلَ فَجَاءَ إِلَيْهِ جَارُهُ فَقَالَ لَهُ ارْجِعْ لاَ تَرَى مِنِّى
شَيْئًا تَكْرَهُهُ
Abu Hurairah
meriwayatkan ada seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW mengenai
jirannya, lalu Baginda SAW berkata “Pulanglah dan bersabarlah”. Situasi itu
berlaku 2 ataupun 3 kali lalu kata Baginda SAW “Pulanglah dan buang barangmu di
atas jalan”. Lalu setelah lelaki tersebut melakukan sebagaimana yang
disarankan, ramai orang bertanya puncanya, lalu lelaki ini menceritakan
situasinya. Ini membuatkan semua orang yang lalu di situ mencerca jiran lelaki
tersebut. Tidak lama selepas itu, jirannya itu datang dan memohon maaf padanya
dan berjanji peristiwa lama tidak berulang lagi.
Berdasarkan kepada hadis di atas, Imam
Ibnu Qayyim menyebutkan di dalam kitab beliau I’lam Al-Muwaqqi’in bahawa
tidak mengapa bagi seseorang yang dizalimi untuk menceritakan kezaliman yang
diterimanya bagi mendapatkan sokongan dan kekuatan dalam mendapatkan kembali
hak yang telah dizalimi. Sekiranya dengan perbuatan yang dilakukan tersebut
mampu untuk mencegah kezaliman dan cara nasihat yang baik tidak memberikan
kesan.
3-Menunjukkan keizzahan dan kekuatan
Islam adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa situasi di zaman
Nabi SAW iaitu :
-Ketika penghijrahan sahabat, antara
sebab keberjayaan para sahabat keluar berhijrah adalah apabila terdapat sahabat
yang gagah dan berani dengan memberikan amaran kepada pihak musyrikin Mekah
agar tidak mengganggu penghijrahan para sahabat.Antaranya Saidina Umar
Al-Khattab. Hasilnya para sahabat dapat keluar berhijrah beramai-ramai mengikut
peringkat-peringkat yang telah disusun.
-Ketika Nabi SAW tiba di Madinah maka
penduduk-penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar dengan
bergembira berhimpun sambil mengalunkan nasyid menandakan kegembiraan mereka
kedatangan Nabi SAW
-Ketika solat sunat Hari Raya, Nabi SAW
menggalakkan juga wanita yang haid untuk keluar (tetapi tidak solat dan berada
dalam masjid, cuma keluar bersama-sama bagi menyambut Hari Raya) agar
menampakkan ramainya umat Islam dalam menyambut perayaan hari kebesaran dalam
Islam.
-Kisah Bai’ah Ridhwan. Ia apabila Nabi
SAW mneghantar utusan untuk berjumpa dengan pembesar Mekah, namun dikhabarkan
bahawasanya mereka telah membunuh Saidina ‘Uthman, maka Nabi SAW dan para
sahabat telah membuat persepakatan untuk berjuang menuntut bela terhadap
ketidakadilan yang berlaku kepada Saidina ‘Uthman.
*antara peristiwa-peristiwa yang
menunjukkan para sahabat berhimpun dalam menunjukkan kekuatan Islam dan
kesatuan umat Islam. Boleh rujuk kitab sirah-sirah.
KESIMPULAN
Hasil pengkajian ringkas di atas mengenai
demonstrasi,maka dapat difahami dengan jelas beberapa perkara :
1-Demonstrasi merupakan satu bentuk
wasilah bagi sesuatu tujuan. Ia termasuk dalam urusan dunia yang asal pada
hukumnya adalah harus.
2-Bentuk-bentuk demonstrasi yang
diharamkan ialah menggulingkan pemerintah yang adil, menyerang pemerintahan
Islam dan mengangkat senjata bagi melakukan huru hara dan mendatangkan
mudharat.
3-Manakala demonstrasi yang berbentuk
menyatakan pendirian bagi menuntut hak-hak yang telah dicabuli, mencegah
kemungkaran dan menunjukkan keizzahan Islam adalah tidak bertentangan dengan
syara’ dan ia diharuskan.
4-Sehubungan itu, penganjur demostrasi
mestilah mengingatkan kepada peserta demonstrasi untuk menjaga adab dan tidak
melakukan perkara-perkara yang memudharatkan orang awam dan batasan syara’.
5-Sekiranya tujuan dan wasilah yang
dirancang adalah baik,namun terdapat beberapa kekacauan selepas demontrasi di
luar dugaan, maka ia tidak menjejaskan hukum asal bagi demontrasi tersebut. Hal
ini demikian samajuga seperti musafir yang mubah namun di tengah perjalanan
berlaku perkara maksiat, maka masih dibolehkan untuk solat jama’ dan qasar.
Namun sekiranya niat musafir adalah untuk maksiat, maka ia berbeza dan ulama
menyatakan adalah haram untuk solat jama’ dan qasar.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili
Saiman
Pengerusi Felo
MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-Sirah
An-Nabawiyyah, oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2-Al-Halal
Wa Al-Haram Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-Fiqh
Ad-Daulah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-Dirasah
Fi Fiqh Maqasid Al-Syariah, Dr Yusuf Al-Qardhawi,cetakan Maktabah Wahbah
5-Dhawabit
Al-Maslahah Fi As-Syariah Al-Islamiyyah, Dr Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar
Al-Fikr
6-Nail
Ar-Raja’ bisyarh Safinah An-Naja’, oleh Al-‘Allamah Al-Faqih As-Sayyid Ahmad
bin Umar Asy-Syatiri
7-Al-Qaawaid
Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhd Azzam, cetakan Dar Al-Hadis
No comments:
Post a Comment