Persoalan
mengenai adakah malam nisfu Syaaban mempunyai kelebihan tertentu dan adakah
terdapat larangan untuk menghidupkan malam tersebut merupakan perkara khilaf di
kalangan para ulama’. Namun begitu khilaf yang berlaku bukanlah untuk
menimbulkan kepada perpecahan umat Islam.
Mengenai
persoalan di atas, MANHAL PMRAM membawa fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali
Jumaah, Mufti Mesir yang menyatakan harus menghidupkan malam Nisfu Syaaban
kerana malam tersebut mempunyai kelebihan yang istimewa. Hujah-hujah yang
diberikan dalam fatwa beliau ialah :
1- Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan
berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban, antaranya ialah hadis yang Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
“Apabila
tiba malam nisfu Syaaban maka hidupkanlah malam tersebut dan berpuasalah di
siangnya, maka sesungguhnya (hari tersebut) Allah SWT turun (membuka
seluas-luas pintu rahmat) ke langit dunia apabila tenggelam matahari (malam
nisfu Syaaban) sehingga terbit fajar (keesokkan) seraya berkata : Ketahuilah
sesiapa yang meminta ampun kepada-Ku maka Aku akan memberikan keampunan
baginya, sesiapa yang memohon rezeki kepada-Ku nescaya Aku akan memberikannya
rezeki dan sesiapa yang memohon kesihatan (kesembuhan) kepada-Ku akan aku
berikannya kesembuhan”[1]
Walau
hadis di atas merupakan dalam kategori hadis yang lemah namun terdapat banyak
hadis yang lain yang menguatkannya berkenaan dengan kelebihan malam nisfu
Syaaban. Hal ini sebagaimana yang diceritakan oleh Syeikh Al-Mubarakfuri dalam
kitab Tuhfatul Ahwazi (jilid ke-3, m/s 442, cetakan Dar Al-Fikr), dan beliau
berkata bahawa kesemua hadis-hadis tersebut (berkenaan kelebihan malam nisfu
Syaaban) merupakan hujah bagi menjawab dakwaan pihak yang menafikan kelebihan
malam nisfu Syaaban.
2- Pensyariatan menghidupkan (hukumnya harus)
malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan kepada amalan para salafus soleh bahkan
ia merupakan pendapat majoriti ulama’ dan ia dilakukan di Negara-negara Islam.
Antaranya ialah pendapat Imam As-Syafie yang dinyatakan dalam kitab Al-Um
(jilid pertama, m/s 264, cetakan Dar Al-Fikr) iaitu : terdapat 5 malam yang
dimakbulkan doa iaitu malam Jumaat, malam Eidul Adha, malam Eidul Fitri, malam
pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.
3- Berkata Imam Al-Fakihi (wafat pada tahun 272
H) di dalam kitabnya yang berjudul “ Akhbar Makkah Fi Qadimi Ad-Dahr Wa
Hadisihi” (jilid ke-3, m/s 84, cetakan Dar Al-Hadhr) : antara amalan dan
ijtihad penduduk Mekah pada malam nisfu Syaaban disebabkan kelebihan yang
terdapat pada malam tersebut ialah mereka samada lelaki dan wanita akan keluar
menuju ke masjid, mereka akan solat, melakukan tawaf dan menghidupkan malam
tersebut dengan membaca Al-Quran sehingga khatam di dalam Masjid Al-Haram
sehinggalah waktu Subuh dan mereka juga melakukan ibadah solat.
4- Berkata Syeikh Zainuddin bin Nujaim
Al-Hanafi (ulama’ besar Hanafi) dalam kitab yang berjudul “Al-Bahr Ar-Raiq”
(jilid ke-2, m/s 56 cetakan Dar Al-Makrifat) : antara perbuatan sunat ialah
dengan menghidupkan 10 malam bulan Ramadhan, dua malam Raya, malam kesepuluh
Zul-Hijjah dan malam nisfu Syaaban, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis
mengenainya (kelebihan menghidupkan malam-malam tersebut).
5- Syeikh Ibnu Taimiyah Al-Hanbali sebagaimana
yang dinyatakan dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra (jilid ke-5, m/s 344, cetakan
Dar Al-Kutub Al-Ilmiah) : Adapaun pada malam nisfu Syaaban tersebut mempunyai
kelebihan, dan para salafus soleh melakukan ibadah solat pada malam tersebut
(dengan erti kata menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan melakukan ibadah).
6- Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali menyatakan di
dalam kitabnya yang berjudul “Latoif Al-Ma’arif
Fima Al-Mawasim Al-‘Am Min Al-Wazoif” (m/s 263, cetakan Dar Ibnu Kathir)
: Ulama Syam berbeza pendapat dalam menyatakan sifat atau bentuk menghidupkan
malam (yang mempunyai kelebihan seperti malam nisfu Syaaban) kepada 2 pandangan
:
1) Harus menghidupkan malam-malam (yang
tertentu yang mempunyai kelebihan) secara berjemaah iaitu beramai-ramai di
masjid. Dan ia bukan termasuk dalam perkara bid’ah (iaitu bid’ah yang
terlarang).
2) Makruh menghidupkan malam-malam (yang
tertentu yang mempunyai kelebihan) secara beramai-ramai di masjid seperti solat
dan zikir, namun harus iaitu tidak makruh jika melakukan secara individu. Ini
merupakan pendapat Imam l-Auza’i.
Maka
berdasarkan kepada perselisihan pendapat di atas, dapat dilihat bahawa ulama’
sepakat bahawa disyariatkan iaitu harus serta sunat menghidupkan malam-malam
(yang tertentu yang mempunyai kelebihan), namun mereka hanya berbeza mengenai
cara menghidupkannya samada secara jemaah atau sendiri, dan perbezaan yang
berlaku tersebut hanya melibatkan hukum makruh, tidak sampai ke tahap yang
haram. Namun yang lebih tepat ialah harus dan tidak makruh kerana suruhan berbentuk
galakan menghidupkan malam-malam tersebut merupakan suruhan yang berbentuk
mutlak iaitu tidak diperincikan cara bagaimana ia termasuk dalam apa jua jenis
ibadah yang disyariatkan. Justeru apabila ia dilakukan secara individu mahupun
berjemaah maka ia adalah satu perbuatan yang baik dan elok.
Sehubungan
itu, berkenaan dengan fadhilat malam nisfu Syaaban serta menghidupkannya dengan
ibadah-ibadah merupakan khilaf ulama’. Justeru MANHAL PMRAM membawakan
terjemahan daripada fatwa Syeikh Ali Jumaah yang menyatakan terdapat pandangan
ulama’ yang menyatakan hukumnya adalah harus. Maka bagi sesiapa yang ingin
menghidupkan malam nisfu Syaaban terdapat hujah-hujah yang mengharuskan.
Manakala bagi pihak yang tidak mahu menghidupkan malam-malam tersebut termasuk malam
nisfu Syaaban maka ia terpulang kerana hukum adalah harus, bukan wajib. Bagi
mereka yang melakukan dapat pahala sunat, dan yang tidak mahu melakukan tidak
berdosa. Ia merupakan khilaf pada perkara cabang. Selaku umat Islam, kita perlu
memahami adab berkhilaf dan tidak menjadikan khilaf yang berlaku sebagai
perpecahan. Jagalah kesatuan umat Islam, dan beramallah dengan keyakinan
berdasarkan hujah-hujah yang jelas, bukan hanya taklid tanpa pengetahuan.
Wallahu
a’lam
Terjemahan
dan olahan oleh :
Muhamad Zuhaili bin Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
**Terjemahan dan olahan dari Majalah Al-Azhar, keluaran Bulan
Syaaban 1433 H / Julai 2012, m/s 1834-1835
[1] Riwayat Ibnu Majah
Sumber : manhal-pmram
No comments:
Post a Comment