TERKINI - Pengetahuan & Pendidikan

Wednesday, October 15, 2008

PMRAM Sebagai Universiti Kedua

Dipetik dari Laman Web Rasmi PMRAM

Pengajian dan persatuan merupakan dua tuntutan penting yang perlu dipenuhi oleh seorang mahasiswa sebagai satu persediaan untuk menghadapi cabaran mendatang. Seorang mahasiswa yang mempunyai kredibiliti, seharusnya bijak mengimbangi kedua-dua tuntutan tersebut. Masa depan sesebuah negara dan bangsa bergantung kepada mahasiswa. Oleh demikian, kelompok yang terpilih ini mesti memainkan peranan agar harapan masyarakat tidak terabai.

Mari kita renungkan ; “Rasulullah salallahualaihi wasalam mendaki gua Hira’ dan Baginda juga turut berkhutbah di bukit Safa”. Mahasiswa al Azhar tidak sepatutnya bersikap sekular antara ilmu dan persatuan (dalam mengaplikasikan dakwah). Benar, Islam adalah agama yang menitik beratkan pengetahuan sebagaimana yang jelas ditekankan pada ayat pertama diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam, walau bagaimanapun persatuan juga bukan perkara kedua.

Pengajian adalah proses untuk mendapatkan maklumat atau lebih mudah kita gelarkan sebagai input. Manakala persatuan adalah medium untuk kita mempraktikan ilmu tersebut dalam pelbagai bentuk dan gaya. Pemikiran yang waras sama sekali tidak akan membezakan dua perkara tersebut kerana ia adalah elemen yang saling memerlukan. Tidak keterlaluan jika saya katakan orang yang meninggalkan persatuan ini adalah orang yang mementingkan diri sendiri. Sikap ini perlu dikikis dari jiwa seorang mahasiswa berwawasan tinggi.


Kesedaran yang wujud dalam diri untuk menimba ilmu merupakan sikap yang harus dipuji malah perlu diberi galakan dan bantuan. Saya berasa bangga dengan sahabat-sahabat yang mampu beristiqamah untuk hadir ke kelas-kelas talaqi walaupun tidak diwajibkan. Amat menyedihkan sekali kerana masih terdapat sebahagian dari rakan-rakan kita yang kurang memberi perhatian terhadap perkara ini. Saya ingin mengajak para pembaca budiman agar berfikir dari konteks yang lebih meluas lagi, berkaitan tajuk ini. Di Mesir, kita dinaungi oleh PMRAM sebagai persatuan yang diiktiraf.

Sejak dahulu lagi, PMRAM mempunyai peranan besar dalam membawa kesedaran masyarakat al Azhar terhadap ilmu dan tanggungjawab sosial. Mengundang Dr. Hussain Hussain Shehatah menyampaikan motivasi, menjemput Sheikh Nuruddin melancarkan pengajian di rumah Melayu, memperkenalkan kelas-kelas sebagai persediaan menjelang imtihan dan lain-lain lagi bukanlah aktiviti yang janggal dilakukan oleh persatuan bertaraf kebajikan seperti PMRAM. Sekalipun, membangunkan masyarakat dalam sebuah institusi pengajian, menyatukan dan mengukuhkan kelangsungannya bukanlah satu perkara mudah. Namun, PMRAM telah menunjukkan bahawa dari semasa ke semasa mereka menampilkan individu atau kelompok menyambut cabaran tersebut.
Tanpa PMRAM kita akan lemah dan berpecah belah. Justeru itu, apabila kita menilai prestasi PMRAM, wajar bagi kita mengambil kira bagaimana peranannya terhadap masyarakat al Azhar khususnya. Dengan berbuat demikian, kita berupaya menganalisis cabaran yang bakal dihadapi PMRAM dan mengenalpasti musuh-musuhnya.

Sejak akhir-akhir ini, banyak berlaku perubahan dan suasana yang berada di sekeliling PMRAM, yang kadang-kadang mengusik kredebilitinya. Terdapat beberapa individu cuba menghilangkan clout atau pengaruh PMRAM. Bukan itu sahaja, populariti PMRAM sebagai pelopor kesatuan BKAN, turut digugat dan dianiaya. Sebenarnya kita perlu melihat mereka yang anti-PMRAM sebagai pelengkap (complementing). Tetapi malangnya mereka yang anti-PMRAM bertindak sebagai pesaing dan persaingan yang dilakukan seringkali tidak terkawal lalu berubah menjadi kesenjangan yang mendatangkan krisis perpaduan masyarakat al Azhar. Perebutan pengaruh di majlis-majlis ilmu, mengangkat personaliti sendiri boleh mencemarkan kemuliaan peribadi dan melumpuhkan perpaduan jamaah. Malah, ia secara tidak langsung memberikan imej betapa nistanya kedudukan ilmu yang dimiliki oleh individu terbabit.

Islam adalah agama persaudaraan dan perpaduan. Dalam persaudaraan dan perpaduan terkandung nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, hormat menghormati, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Dari kaca mata agama, persaudaraan adalah nikmat yang harus disyukuri, sedang permusuhan adalah bencana dan derita yang cukup mendera. Lalu wajarkah kita mewariskan dendam dan permusuhan kepada saudara yang memiliki pengajian yang sama di al Azhar?

Mengakhiri tulisan ini, saya menyeru kepada sahabat-sahabat agar terus beriltizam dengan kelas-kelas pengajian yang dijalankan dan memberikan komitmen semaksima mungkin kepada persatuan khususnya PMRAM yang sama-sama kita dokongi sebagai universiti kedua yang menghasilkan produk berkualiti mahasiswa al Azhar.